Saturday, January 9, 2010

++++WaCaNa PenDidikAn 3++++

Hanson dapat 7A walaupun rabun teruk


KUALA LUMPUR 26 Dis. - Rabun teruk sejak dilahirkan tidak menghalang Hanson Ang Ping Ting (gambar) untuk memperoleh keputusan 7A pada Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 yang diumumkan kelmarin.


Pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Cacat Penglihatan Setapak itu mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup Bersepadu, Matematik dan Sains.


Hanson, 16, berkata, sejak memasuki sekolah menengah, dia berazam memperoleh keputusan terbaik bagi menebus kekecewaannya yang hanya mendapat 2A 3B pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).


Setiap hari dia mengulangkaji pelajaran di bilik asrama selepas waktu persekolahan dan berusaha meningkatkan pengetahuan dalam setiap mata pelajaran.


"Cabaran saya adalah perlu menggunakan buku rujukan dan latihan yang sama seperti pelajar normal iaitu bertulisan kecil, jadi saya perlu cermin mata serta kanta pembesar," katanya kepada Mingguan Malaysia.


Dia hadir bersama ibu dan bapanya, Ang Eng Siew dan Wong Saw Wah serta tiga adik-beradiknya dari Tangkak, Johor untuk mengambil slip keputusan PMR di sekolah itu di sini kelmarin.


Jelas anak ketiga daripada empat beradik itu, pencapaian berkenaan di luar jangkaan kerana dia hanya menyasarkan 6A seperti keputusan percubaan PMR yang diperolehnya.


"Saya amat berterima kasih dan menghargai jasa semua individu yang menyokong terutama guru kerana sentiasa membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi pelajar,'' katanya yang bercita-cita menjadi guru.


Sementara itu, Pengetua sekolah berkenaan, Che Fatimah Che Abdullah, 56, berkata, kejayaan Hanson sangat membanggakan kerana dia pelajar pertama memperoleh keputusan begitu cemerlang.


Katanya, sejak memegang jawatan pada 2004, beliau bersama 41 guru di sekolah itu komited menjalankan pelbagai program pendidikan bagi meningkatkan pemahaman dan penguasaan setiap calon PMR dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam setiap mata pelajaran.


Selain memperkenalkan Kem Pendidikan Matematik dan Sains, katanya, sekolah juga
menjalankan 'head count' iaitu berjumpa setiap pelajar secara peribadi selepas tamat sesuatu peperiksaan mingguan, bulanan atau tahunan.


"Ia bertujuan mengenal pasti punca masalah pelajar dalam subjek tertentu dan daripada situ, sekolah akan mencari kaedah terbaik menyelesaikannya serta mempertingkatkan pencapaian mereka,'' katanya

No comments:

Post a Comment