Saturday, January 9, 2010

++++WaCaNa PenDidikAn 4++++

Miskin tidak halang Nurlyana cemerlang
(kredit artikel 4 utusan online)

PAPAR 6 Jan. - Walaupun hidup dalam serba kekurangan, ia tidak menghalang Nurlyana Chok Yee Ting mencatat keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2009.

Lebih membanggakan, kejayaan itu membolehkan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kelatuan, Papar itu ditawar melanjutkan pelajaran tingkatan satu di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra di Kangar, Perlis oleh Yayasan Sabah (YS).

"Saya sangat berterima kasih kepada Yayasan Sabah kerana memberi peluang untuk saya belajar di Semenanjung," katanya ketika ditemui selepas menerima kehadiran rombongan Yayasan Sabah yang diketuai Ketua Pentadbir YS Zon Pedalaman Selatan (YSZPS), Zulkhairi Ismail di sini hari ini.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah Pegawai Pelajaran Daerah Papar, Abidin Marjan; Guru Besar SK Kelatuan, Nining Yahya Wahid; Pegawai Operasi YS Papar, Mohd. Fairuz Yussof dan Pegawai Latihan YSZPS, Haidy Othman.

Tawaran itu diberikan oleh Yayasan Sabah dengan kerjasama Kementerian Pelajaran menerusi Program Penghantaran Pelajar Menengah Yayasan Sabah 2010.

Bapa Nurlyana adalah seorang penghidap barah paru-paru dan bekerja sebagai penoreh gerah manakala ibunya pula menjual kuih muih bagi membantu menambah pendapatan keluarga.
Sementara itu, Zulkhairi berkata, pencapaian Nurlyana dalam pelajaran perlu menjadi contoh kepada pelajar lain terutama di kawasan pedalaman.

Menurutnya, ia juga membuktikan bahawa kemiskinan dan kesempitan hidup tidak sepatutnya menghalang seseorang itu untuk mencapai kejayaan selagi ada usaha dan kesungguhan.
"Kita akan bantu sedaya upaya bagi membolehkan para pelajar miskin di luar bandar berpeluang mengikuti program pendidikan di sekolah elit di seluruh negara," katanya

No comments:

Post a Comment